BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 11, 2009

Bab 6

“ Good morning girls! ,” Cinta masuk ke kelas dengan wajah yang ceria. Teman-temannya melihat jam tangan masing-masing, kemudian berpandangan sesama sendiri. Pukul 7.10 pagi. Awalnya!

“ Hei, ni aku la, Cinta. Kenapa dengan korang ni? Macam nampak hantu je? ,” tanya Cinta apabila melihat ketiga-tiga kawannya itu terlopong melihatnya.

“ Kau ni biar betul Cinta, kau mimpi ke?," tanya Maisara, salah seorang daripada tiga orang rakannya itu. " Ye lah, apasal hari ni awal kau datang?," tanya Miza pula. " Apalah korang ni. Dah hari ni aku bangun awal, awal la aku datang ke sekolah ,” kata Cinta sambil tersenyum. Kemudian, dia segera menuju ke mejanya di sebelah Nazira. Hatinya kini sedang berbunga-bunga untuk menjalankan rancangan yang telah dia aturkan semalam. Kerana itulah dia begitu bersemangat datang ke sekolah pada hari itu. Dia berharap agar masa akan bergerak pantas hingga tiba ke waktu rehat.

Setiap patah perkataan yang diajar oleh guru pada pagi itu, tiada satu pun yang dapat masuk ke dalam otak Cinta. Tapi yang mengejutkan rakan-rakannya, pada hari itu Cinta tidak lagi kelihatan tersengguk-sengguk seperti selalu. Memang catat rekod ni! Apa yang berlegar-legar dalam kepala Cinta hanyalah tentang apa yang bakal berlaku pada waktu rehat nanti. Dia yakin, dengan rancangan yang telah semalaman difikirkannya itu dapat membuat dia berkenalan dengan Khai pada hari itu.

" Cinta.. cuba kamu bangun, berikan satu faedah bersukan.. ," kata Cikgu Razilah kepada Cinta. Cinta yang masih dalam dunia khayalannya terus tersengih-sengih. Semua rakan-rakan sekelasnya kini mula memandang ke arahnya. " Cinta! ," tinggi sekali suara cikgu memanggil namanya untuk kali kedua itu. Cinta tersentak, ekoran itu, dia tidak dapat menyeimbangkan kedudukannya di atas kerusi itu lalu terjatuh ke bawah. Serentak dengan itu, kedengaran deraian tawa pelajar-pelajar kelas itu pecah. Masing-masing berasa geli hati melihat kejadian yang berlaku itu. Dengan bertebal muka, Cinta bangun dan berdiri.

" Kamu dengar tak apa yang cikgu tanya tadi? Cikgu nak kamu berikan kepada cikgu satu faedah bersukan," kata Cikgu Razilah lagi mengulangi soalannya sebentar tadi.

' Faedah bersukan? Apa ye? ' fikirnya sendirian." Err... dapat menyebabkan kita berpeluh dan berbau ,"jawab Cinta. Miza, Nazira dan Maisara serentak menepuk dahi masing-masing apabila mendengar jawapan dari Cinta itu. Sekali lagi kedengaran deraian tawa dari para pelajar kelas itu. Cikgu Razilah pula hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.


" Eh, kau ni apa hal Cinta?? ," tanya Nazira kepada Cinta sewaktu mereka sedang berada di sebuah pondok bangku pada waktu rehat. " Aku tengok kau tersengih semacam je sepanjang hari ni. Dahlah kerap kena marah kat cikgu," sambung Nazira lagi. " Betul tu," kata Miza setuju dengan mulutnya yang penuh dengan sandwich yang dimakannya itu.

" Betul ke? Aku rasa macam biasa je la," kata Cinta. " Eh, kau tak makan ke?," tanya Maisara pula.

" Err.. aku tak makan hari ni..diet..," jawab Cinta. " Eh, aku ada hal la, aku pergi dulu ye? Nanti kita jumpa dalam kelas," kata Cinta lalu mengangkat punggungnya untuk pergi dari situ.

" Eh, kau nak ke mana??," tanya Miza. " Ada lah..," jawab Cinta ringkas sambil tersenyum sebelum meninggalkan mereka bertiga di situ. Rakan-rakannya itu menggeleng-gelengkan kepala melihat Cinta, sama seperti Cikgu Razilah tadi. " Apa nak jadilah dengan dia tu...," kata mereka serentak.


Cinta berlari menuju ke Taman Ros, dari jauh dia terhendap-hendap mencari seseorang. Itu dia! Memang dia tahu, Khai akan menghabiskan masanya di pondok bangku dalam Taman Ros itu. Memang kerap kali dia melihat lelaki itu berada di situ. Dia kemudian memulakan rancangannya. Dia menyelukkan tangannya ke dalam saku baju kurungnya itu sambil berjalan melalui taman itu, tepat di hadapan pondok bangku di mana Khai sedang berada pada waktu itu. Ketika itu, dia berpura-pura menjatuhkan sapu tangan di dalam saku bajunya itu ke tanah. Kemudian dia terus berjalan pergi bagaikan tidak menyedari tentang perkara itu.

' Panggillah.. please, tolonglah panggil aku..,' kata Cinta di dalam hatinya penuh harap. Namun setelah terlalu jauh dia meninggalkan kawasan itu, masih tiada sesiapa pun yang memanggilnya. Akhirnya dia menyerah kalah. Dia mula berpaling ke belakang, dan menuju semula ke pondok itu tadi. Dilihatnya, sudah tiada sesiapa lagi di pondok bangku itu. " Ee.. geramnya! Rosak rancangan aku! Takkanlah dia tak nampak sapu tangan ni?," kata Cinta sambil menunjuk ke atas tanah. Tapi, dia tidak dapat lihat mana-mana sapu tangan berada di atas tanah di kawasan itu. " Eh, mana sapu tangan tu? ," tanya Cinta sendirian. Dia berpusing-pusing mencari sapu tangan itu.

" Awak cari ni ke?," kedengaran satu suara dari belakangnya bertanya. Serentak dengan itu, Cinta terkedu. Itu suara dia!

" Awak cari sapu tangan awak ni ke? ," tanya suara itu sekali lagi. Kali ini Cinta mula berpaling ke belakang. Sedaya-upaya cuba dia mengawal dirinya daripada kelihatan gugup di hadapan lelaki itu. " Err.. ye lah.. Ni sapu tangan saya. Mana awak jumpa?," tanya Cinta berpura-pura. " Awak tercicirkannya kat sini tadi. Dah kotor tu, lebih baik awak basuh terlebih dahulu," jelas Khai. Cinta tersenyum mendengar penjelasan dari Khai itu. " Terima kasihlah.. Nasib baik ada orang yang prihatin macam awak ni," kata Cinta. Khai ketawa mendengar pujian dari Cinta. " Hal kecil je.. Dah saya nampak awak tercicirkannya tadi, saya tolonglah ambilkan," kata Khai. " Erm.. by the way, saya Khai.. Khairul Faris," Khai memperkenalkan dirinya.

" Err.. saya Cinta, Cinta Illyana..," kata Cinta pula. " Cinta? Nama yang unik.. Selamat berkenalanlah..," kata Khai. Cinta hanya tersenyum mendengar kata-kata Khai itu. Akhirnya, rancangannya menjadi juga. Hatinya bagaikan ingin bersorak pada waktu itu juga. tanpa disedari, dari jauh, mereka berdua sedang diperhatikan oleh seseorang.

" Cis, tak boleh jadi ni!! ," kata Airell.


Friday, May 8, 2009

Bab 16

" Faiz, aku tanya kau satu soalan, boleh tak? ," tanya Haris tiba-tiba kepada rakannya yang sedang khusyuk menghirup jus oren itu.
" Apa maknanya bila seseorang itu selalu terbayangkan wajah seseorang, dia rasa macam nak selalu bersama orang itu, tapi bila dia berdepan dengan orang tu, dia rasa macam nervous je..?," tanya Haris. Faiz tersedak mendengar soalan yang diajukan oleh Haris itu. Sejak bila Haris pandai mengajukan soalan-soalan seperti itu?
" Kenapa kau nak tahu ni? ," tanya Faiz hairan.
" Tak de la, ada kawan aku datang tanya soalan itu pada aku, aku tak tahu nak jawab apa, aku tanyalah kau," jelas Haris penuh lancar walaupun setiap patah katanya itu adalah satu kelentong. Faiz mengangguk faham. " Itulah tandanya kawan kau tu dah jatuh cinta ," kata Faiz. " Siapa kawan kau tu?," tanya Faiz ingin tahu. Haris berkerut.
" Siapa?," tanya Haris. Faiz mengecilkan matanya memandang Haris. " Oh, kawan aku yang tu.. Adalah tu, kawan satu group dissucussion ," jelas Haris lagi.
Pada masa yang sama, dia ternampak melalui tingkap kafeteria itu, Nia sedang berjalan melintasi kafeteria itu. Lantas, dia mencapai beg galas yang sering dibawa bersamanya lalu meminta diri. Faiz kehairanan melihat temannya yang tergesa-gesa itu, lalu dia cuba mengintai ke luar kafetaria itu melalui tingkap. Dilihatnya Haris sedang cuba mengejar Nia. Kemudian, Faiz tersenyum sendirian.

" Nia! ," panggil Haris. Nia berpaling setelah mendengar namanya dipanggil itu.
" Hai! Awak rupanya, saya ingatkan siapa," kata Nia setelah Haris berada betul-betul di hadapannya. Dia tersenyum kecil melihat Haris yang sedang tercungap-cungap itu.
" Awak nak ke mana ni?," tanya Haris. " Library.. ," jawab Nia ringkas. Kemudian dia menyambung perjalanannya semula. Haris berjalan seiringan dengannya. " Kita pergi bersama ye? Saya pun nak ke sana juga ni..," kata Haris. Mereka terus berjalan menuju ke perpustakaan sambil berbual mesra.
Setiba di pintu masuk perpustakaan, mereka berdua ternampak sehelai notis yang telah ditampal pada sebuah papan kenyataan di sebelah pintu masuk itu.
' JADILAH PENIAGA UNTUK SEHARI! Tempahlah sebuah Booth sempena Hari Konvokesyen kali ke-45 yang akan diadakan tidak lama lagi. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan, menjual, pameran, dan lain-lain. Hanya RM 15.00 untuk sebuah Booth. Setiap Booth sekurang-kurangnya didaftarkan atas nama dua orang. Jadi, jangan lepaskan peluang ini. Segeralah membuat tempahan sementara peluang masih ada! '
Haris membaca setiap perkataan yang tertulis pada notis itu. Kemudian, dia memandang Nia, cuba untuk mendapatkan pandangan dari Nia tentang notis itu. Nia hanya mendiamkan diri. Sebentar kemudian, dia mula bersuara. " Macamana kalau kita sewa sebuah Booth pada hari itu nanti?," tanya Nia.
" Awak dan saya? ," tanya Haris inginkan kepastian. Nia mengangguk. " Err.. saya boleh je.. Tapi kita nak jual apa hari tu nanti?," tanya Haris.
" Jual je apa yang patut.. Pasal tu, kita fikirkan nanti-nanti je lah.. Buat masa ini, baik kita ambil sehelai borang untuk menyewa Booth itu," kata Nia sambil mengambil sehelai daripada borang permintaan untuk menyewa Booth itu. Kemudian, mereka berlalu masuk ke dalam perpustakaan dan cuba mengisi maklumat di dalam borang itu. Ketika Nia sedang duduk di kerusi leka menulis untuk mengisi borang itu, Haris berdiri di belakangnya untuk turut melihat.
Tiba-tiba, Nia tertolak pencil case yang berada di tepi meja itu lalu jatuh. Haris secara spontan tunduk untuk mengambil kotak pensil itu, begitu juga dengan Nia. Dengan tidak semena-mena, mereka berlaga sesama sendiri. " Aduh! ," Nia mengaduh sambil menggosok-gosokkan kepalanya. " Maafkan saya, sakit ke? ," tanya Haris sambil segera turut menggosok-gosokkan kepala Nia. Sewaktu sedang menggosok-gosok kepala Nia itu, Haris menyedari bahawa dia sedang diperhatikan oleh Nia. Dia menunduk memandang Nia, wajah mereka cukup hampir sekali. 'Dup Dap, Dup Dap!,' dia dapat merasakan jantungnya sekali lagi berdegup kencanga. Lalu dia segera menarik tangannya yang masih lagi menyentuh kepala Nia sebentar tadi.
" Err.. maaf..," kata Haris bagaikan orang yang telah melakukan kesalahan besar. Nia yang sejak tadi terdiam bisu, akhirnya tersenyum. " It's ok..," katanya ringkas. Dia juga dapat merasakan bagaikan jantungnya turut berdegup kencang pada waktu itu. Tapi, kenapa?

Thursday, May 7, 2009

Ku Tetap Menyayangimu

Cinta pertama.. Itulah yang sering membayangi hidup seorang gadis bernama Nia. Kisah cintanya dengan Adam sewaktu zaman persekolahannya dahulu masih terus menjadi bayangan kepadanya. Walaupun 3 tahun telah berlalu, namun nama itu masih tetap setia di hatinya. Perkenalannya dengan Haris telah membawa dia keluar dari mimpinya selama ini. Nia yang dahulunya seorang yang periang akhirnya muncul kembali. Dalam diam-diam, rupa-rupanya Haris telah jatuh cinta pada Nia.

Saat pintu bahagia mula terbuka, muncul dua persimpangan untuk dilalui. Simpang yang manakah harus dipilih?

Hello Cinta

Hello Cinta mengisahkan tentang kisah dalam zaman persekolahan antara Airell dan Cinta. Satu pertaruhan telah merapatkan mereka berdua sehingga terbina sebuah persahabatan.
Pelbagai pengalaman mereka lalui bersama, akhirnya terputik rasa cinta di hati. Namun, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Walaubagaimanapun dia lebih rela begitu untuk melihat orang yang dicintainya bahagia.

Cinta : Aku akan menang dalam pertaruhan ini!
Airell : Jangan mimpi!

Seindah Bintang Di Langit

Sebuah tabir menjadi pemisah,
Bintang di langit menjadi saksi,
Persahabatan antara 2 insan yang tidak pernah bersua.

Masing-masing mencari identiti si dia,
Namun masing-masing juga menyembunyikan rupa,
Harus tunggu sampai bila,
Sehingga rahsia terbongkar jua??

Mereka bertanya sesama sendiri,
" Siapa awak?? "

Jawab si gadis : Saya adalah salah satu daripada bintang-bintang itu.
Jawab si pemuda pula : Saya adalah bulan yang sering menemani bintang itu.

Ikuti novel ' Seindah Bintang Di Langit ' ini untuk mengetahui kisahnya..

( coming soon... )

Sunday, May 3, 2009

Bab 5

Hari-hari yang dilalui oleh Cinta dan Airell penuh dengan rasa kebimbangan. Masing-masing takut jika salah seorang daripada mereka akan membocorkan rahsia mereka. Namun hakikatnya, masing-masing takut untuk membocorkan rahsia itu. Cinta risau jika dia membocorkan rahsia Airell, lelaki itu akan membocorkan rahsianya. Begitulah juga apa yang dirasakan oleh Airell. Oleh itu, masing-masing hanya mendiamkan diri. Walaubagaimanapun, setiap kali mereka berdua terserempak di sekolah, masing-masing akan berbalas jelingan. Jika dapat digambarkan, bagaikan ada satu panahan kilat antara pandangan mata mereka berdua.
Suatu petang, Cinta berjalan pulang seperti biasa, melalui jalan hutan yang menjadi jalan pintas yang sering dilaluinya. Kawasan itu kelihatan tidak terlalu sibuk dengan kenderaan. Hanya sekali-sekala kelihatan motor melalui jalan itu. Kebanyakan kereta enggan melalui jalan itu walaupun ia merupakan jalan pintas kerana jalan itu agak sempit untuk kereta. Cinta terus berjalan dan dia berharap agar cepat-cepat sampai ke rumahnya. Kini, hanya dia seorang yang berada di kawasan itu. Tiada lagi pelajar-pelajar lain yang berada di situ. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa kurang senang. Dia merasakan seperti seseorang sedang mengekorinya. Lantas dia mempercepatkan lagi langkahannya.
Bunyi tapak kasut dari arah belakang Nia semakin lama semakin kuat, seolah-olah bunyi itu datang untuk menerkam ke arahnya. Kali ini, Cinta tidak dapat lagi membendung rasa takutnya lalu dia berlari sekuat hati sambil menjerit. Sewaktu dia berlari itu, tiba-tiba kakinya tersadung pada akar pokok yang telah timbul di hadapannya lalu jatuh terjelepok di situ. Dia kini sudah tidak mampu untuk bangun berdiri lagi, dia hanya duduk meringkuk di situ sambil terus menjerit. Tangannya telah memekup mukanya, manakala matanya sejak tadi lagi tertutup rapat.
" Hoi! Apasal kau menjerit ni? Dah lah lari bukan main laju lagi.. Kena histeria ke?," kedengaran satu suara menyapanya. ' Macam pernah dengar je suara ni?,'
Dengan serta-merta Cinta berhenti menjerit dan menurunkan tangannya dari muka sambil membuka matanya perlahan-lahan. " Kau lagi???!!!," tengking Cinta. " Kau kalau tak menyusahkan aku boleh tak??! Aku ingatkan penculik ke siapa tadi?," sambungnya lagi.
" Entahlah, tak boleh kot ..," jawab Airell selamba. " Perlukan pertolongan?," tanya Airell lagi sambil menghulurkan tangannya kepada Cinta untuk membantu gadis itu bangun. Cinta merenung tangan lelaki itu untuk seketika, kemudian dia mengangkat kedua-dua tangannya untuk memegang tangan lelaki itu. Tetapi, pada waktu yang sama, Airell melarikan tangannya dengan menggosok-gosok rambutnya. Kemudian kedengaran tawanya berderai.
" Kau ni! ," kata Cinta sambil bangun sendiri tanpa memerlukan bantuan daripada sesiapa lagi.
Airell terus berjalan ke hadapan meninggalkan Cinta, malas untuk mendengar gadis itu meleter. Dia tidak mahu menambahkan rasa serabut dalam kepalanya itu. Sejak tadi dia berjalan kaki untuk pulang ke rumah, sudah lenguh rasanya kakinya itu. Sebelum ini, dia tidak pernah berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah, tetapi disebabkan tiada kenderaan, dia terpaksa pula berjalan kaki. Huh, memang bengang! Tapi, sebentar kemudian, dia berhenti daripada terus berjalan. Kemudian dia berpaling ke belakang, dilihatnya Cinta sedang berada hanya satu meter darinya. Dia merenung Cinta menyebabkan Cinta berasa hairan melihat tenungan itu.
" Kenapa tengok aku macam tu? Nak cari gaduh ke?," kata Cinta geram.
" Kau tak beritahu pada orang pasal Maria tu kan?," tanya Airell.
" Ada...," jawab Cinta ringkas. Serentak dengan itu, Airell membulatkan matanya kepada Cinta. " Pada anak sepupu aku yang umur 2 bulan," sambung Cinta lagi. Kali ini tawa Cinta pula yang berderai. Airell lega mendengar kata-katanya itu.
“ Kau nak tahu tak? Aku rasa, kita ni buat benda sia-sia je ,” kata Cinta lagi sambil terus berjalan.
“ Apa maksud kau? ,” tanya Airell kehairanan mendengar kata-kata Cinta itu tadi.
" Ye la, aku ugut kau.. Kau ugut aku,"jawab Cinta. " Aku rasa, kita patut hentikan semua ni..," katanya lagi.
" Kau ni suka cakap dengan penuh tanda tanyalah.. Apa maksud kau sebenarnya ni?," tanya Airell lagi.
“ Macam ni, kau tahu aku suka Khai kan? Dan aku tahu kau suka Maria. So, macam mana kalau kita main satu permainan?,” cadang Cinta.
“ Permainan apa?,” tanya Airell lagi.
“ Kita bertanding siapa yang dapat tackle orang yang kita suka tu terlebih dahulu. Kau atau aku,”terang Cinta.
“ Tu macam bertaruh la tu..,” kata Airell.
“ Macam bertaruh, tapi bukan bertaruh. Bertaruh guna duit la, kita bukannya guna duit. Apa la kau ni,” kata Cinta pula. Airell terdiam seketika. Barangkali sedang berfikir.
“ Ok, aku setuju. Siapa yang kalah akan ikut perintah orang yang menang selama sebulan ,” akhirnya Airell setuju dengan gadis walaupun dia berasa bahawa itu adalah satu permainan gila. Dia tahu, dia tak mungkin akan kalah dengan perempuan itu.
“ Ok, deal.. Walaupun kita takde kertas hitam putih, aku harap kau akan ingat tu. Dan aku akan pastikan yang kau akan kalah ,” kata Cinta penuh yakin sambil menundingkan jari telunjuknya ke dada Airell.
“ Jangan haraplah.. ,” kata Airell pula.
Masing-masing tersenyum sendirian. Kini mereka tiba di dua persimpangan, Airell dan Cinta saling berpandangan. Kemudian Airell menuju ke simpang di sebelah kiri manakala Cinta ke sebelah kanan. Setelah hampir dua minit mereka berjalan, masing-masing pusing semula ke belakang dan berjalan menuju ke arah yang bertentangan daripada tadi. Masing-masing cuba menahan diri dari ketawa. Mereka terus berjalan sehingga tidak kelihatan lagi.