BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 3, 2009

Bab 30

" Nia, dah enam bulan arwah Haris meninggal, takkan kau nak terus macam ni? Tu si Adam tu, dah lama tertunggu-tunggukan kau. Dulu, kau juga yang tunggu dia, bila dia dah muncul tu, kau pula macam ni," panjang lebar Sarah bersyarah.
" Entahlah Sarah. Aku keliru sebenarnya. Adam masih ada dalam hati aku, tapi Haris pun ada juga dalam hati aku ," kata Nia lagi.
" Nia.. Haris dah meninggal Nia, buat apa lagi fikir pasal dia. So sekarang, tinggal Adam. Apa lagi yang kau fikir sebenarnya ni?," tanya Sarah.
" Aku rasa macam terlalu awal untuk aku terima Adam, aku rasa macam kubur Haris masih panas lagi," kata Nia sedikit sayu apabila menyebut tentang Haris.
" Tapi, kau memang cintakan Adam juga kan? Nia.. kau masih ingat kan, kata-kata arwah Haris sebelum dia meninggal. Dia nak kau dengan Adam bersatu semula ," kata Sarah lagi. Nia hanya mengeluh.
Bukan dia sudah tidak mempunyai perasaan pada Adam. Dia memang mempunyai perasaan pada lelaki itu, memang benar kata-kata Sarah itu, dia memang cintakan Adam. Memang semasa dia bercinta dengan Haris, dia cuba untuk melupakan lelaki itu. Namun begitu, dia tidak dapat menafikan bahawa dia tidak dapat mengusirkan cinta pertama itu dari hatinya. Siapalah yang dapat benar-benar melupakan cinta pertamanya. Apatah lagi apabila lelaki itu kembali semula kepadanya, rindunya selama ini sudah tentu tidak dapat dibendung. Tetapi, dia juga cintakan Haris. Haris sudah banyak memberikan semangat kepada dia, Haris bagaikan memberikan kehidupan baru kepadanya. Dia memang cukup bahagia bersama Haris, dan dia tidak sangka bahawa jalan cerita mereka bersama terlalu pendek.
Namun, lamaran Adam baru-baru ini benar-benar membuatkan dia berasa serba-salah. Memang Haris sudah meninggal dunia, tetapi dia berasa bagaikan dirinya bersalah jika dia menerima lamaran itu. Walaupun arwah Haris pernah cakap dia mahu Nia bersama semula dengan Adam, tapi dia sendiri tidak tahu mengapa dirinya masih terasa bersalah.
Deringan telefon tiba-tiba membuat Nia tersedar dari lamunannya. Dia melihat nama yang tertera di skrin telefon itu. " Adam ". Dia segera menjawab panggilan itu.
" Hello abang..," jawab Nia lembut.
" Nia.. ," kata Adam. " Boleh kita jumpa ?," tanya Adam.
" Err.. boleh ,"jawab Nia ringkas.
" Ok, kat Restoran Mary, pukul 2 petang nanti ye?," kata Adam. Setelah memberi salam, dia mematikan taliannya.
" Ha tengok tu, panjang betul umur dia," kata Sarah. Nia hanya terdiam tanpa sebarang kata.

" Dah lama abang tunggu, maaflah. Jalan jem sikit," kata Nia sambil duduk di kerusi bertentangan dengan Adam. Adam tersenyum seraya berkata, " Tak apa, untuk Nia, sampai bila-bila pun abang sanggup tunggu,". Nia hanya mampu tersenyum kelat mendengar kata-kata Adam itu. Bukan dia tidak suka mendengarnya, tapi dia sendiri tidak tahu kenapa dia tidak mahu Adam berbicara perkara sebegitu dengannya buat masa ini.
Seorang waiter datang untuk mengambil pesanan. Adam memesan sepinggan mee goreng dan jus oren, manakala Nia hanya memesan segelas jus epal. Setelah waiter itu pergi, Adam memulakan semula perbualan mereka.
" Nia sihat?," tanya Adam. Sudah seminggu dia tidak bertemu dengan Nia sejak dia melamar Nia tempoh hari. Dia ingin memberi Nia waktu untuk berfikir, dan hari ini, dia berharap agar dia mendapat jawapannya.
" Alhamdulillah, sihat," jawab Nia ringkas. Adam tersenyum mendengar jawapan itu.
" Baguslah.. Nia.. pasal apa yang abang cakap minggu lepas tu, Nia dah fikir ke?," tanya Adam. Nia terdiam lama.
" Abang.. Nia nak minta sehari lagi, boleh kan?," tanya Nia. Adam terdiam seketika.
" Ok, kalau itu yang Nia minta.. Nia fikirlah dulu.. Kalau Nia terima lamaran abang, Nia datang ke tasik Putrajaya tempat kita bertemu dulu esok, pukul 5 petang. Abang tunggu Nia. Tapi, kalau Nia tak terima, jangan datang ke sana. Lepas ni abang takkan ganggu hidup Nia lagi," kata Adam tenang. Nia membulatkan matanya ke arah Adam.
" Maksud abang?," tanya Nia.

" Abang dapat tawaran untuk bekerja sebagai ketua bahagian fotografi di sebuah syarikat kat London," terang Adam. Nia tertunduk mendengar kata-kata Adam itu.

Nia masuk ke dalam biliknya. Perlahan-lahan, dia menarik semula kotak di bawah katilnya itu. Dia membelek-belek barang-barang di dalam kotak yang sudah berhabuk itu. Surat-surat cinta dia dengan Adam bertimbun di dalamnya. Dia mengambil gelang tangan yang dulu menjadi kesayangannya itu. Kemudian, terimbau semula kenangan semasa dia menyambut hari jadinya dengan Adam. Kemudian, dia mengambil ros yang sudah buruk dan sehelai kertas tertulis lirik lagu 'Sempurna' nyanyian Andre and The Backbone pula. Teringat dia apabila Adam menyanyikannya lagu itu di khalayak ramai. Dia tersenyum sendiri. Kemudian, dia mengeluarkan pula kotak muzik yang sudah lama tidak dimainkannya. Dia membuka kotak muzik itu, lalu muzik 'Fur Elise' mula kedengaran. Dia menghayati muzik itu sehingga akhirnya dia tertidur.
" Nia...," Nia mendengar namanya dipanggil lalu membuka matanya. Dia melihat di sekelilingnya, suasana di kawasan itu berkabus putih. " Kat mana ni?," tanyanya sendirian. Kemudian, dia terkejut apabila melihat dirinya kini memakai sehelai gaun putih.
" Nia.. ," sekali lagi namanya dipanggil. Nia kenal suara itu, dia pernah mendengarnya.
" Siapa tu?," tanya Nia. Dia berlari-lari mencari suara itu dalam kepulan kabus yang agak tebal itu. Tiba-tiba dia ternampak sebuah meja makan kecil berkerusi dua tidak jauh dari situ. Di atas salah sebuah kerusi itu, kelihatan seorang lelaki berkot putih. Lelaki itu berpaling ke arah Nia.

" Duduklah," katanya sambil tersenyum.

" Haris?? ," kata Nia terkejut melihat lelaki itu di hadapan mata. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah meja itu dan duduk di atas kerusi yang satu lagi.

" Saya mimpi ke ni?," tanya Nia. Haris tersenyum seraya berkata," Mungkin..,".

" Nia, kenapa masih teragak-agak untuk terima lamaran Adam?," tanya Haris.

" Nia...Nia.. entahlah, Nia sendiri tak tahu kenapa," jawab Nia.

" Nia..," Haris memegang tangan Nia. " Jangan fikirkan pasal saya lagi, jangan rasa bersalah dengan saya.. Saya nak Nia bersatu dengan Adam, saya nak tengok Nia bahagia.. Please, terima lamaran Adam ye? ," kata Haris.

" Err.. tapi.... ,"

" Tak de tapi-tapi lagi Nia, just terima je dia. Saya akan gembira melihat Nia gembira. Saya tahu, Nia masih cintakan dia. Jadi, jangan biarkan dia pergi lagi sekali," kata Haris lagi.

Nia terdiam mendengar kata-kata terakhir Haris itu. Biarkan Adam pergi lagi? Tak, tak mungkin dia akan biarkan Adam pergi lagi. Kemudian dia mengangguk penuh semangat.

" Erm.. Betul kata awak, saya tak patut macam ni.. Saya tak patut biarkan cinta saya pergi sekali lagi," kata Nia penuh semangat. Haris tersenyum melihat reaksi Nia itu.

" Nampaknya kerja saya dah selesai.. Trust me, you will be happy Nia," kata Haris kemudian dia bangun dari kerusi itu untuk pergi.

" Err, Haris.. Tapi tak kira macamana pun, saya akan sentiasa ingat kat awak," kata Nia. Haris hanya tersenyum mendengar kata-kata Nia itu lalu dia pergi dan menghilang di sebalik kabus tebal tadi.


Nia tersedar dari tidurnya. " Hah, aku mimpi," kata Nia. Namun, dia tersenyum sendiri apabila mengingat semula mimpnya itu tadi. Dia memandang jam tangannya, pukul 4.55 petang. Hah??

" Alamak, aku dah lewat!," kata Nia separuh menjerit. Lalu dia segera menyalin pakaiannya. Dia sudah tidak peduli baju apa yang dipakainya waktu itu, dia sudah tidak sempat untuk memilih. Apa yang dia tahu, dia hendak segera ke tasik Putrajaya. Dia akan menerima lamaran lelaki yang dicintainya itu.

Dia keluar dari rumah itu dan cuba menahan sebuah teksi, tetapi setelah 20 minit berlalu, barulah Nia dapat menahan sebuah teksi. Hatinya berdebar-debar. Kini sudah pukul 5.30. Jalan raya pula sesak. Waktu sebegitu, orang ramai sudah pulang dari kerja,kerana itulah jalan raya agak sibuk. 30 minit terus berlalu berada di tengah-tengah jalan raya itu. Nia mengeluh sendiri. Apabila teksi itu sudah berada lebih kurang satu kilometer dari tasik Putrajaya, Nia mengerling ke arah jam tangannya. Pukul 6.15 petang. Tanpa terus menunggu lagi, Nia membayar tambangnya kepada pemandu teksi dan keluar dari kereta itu di tengah jalan raya yang sesak itu. Dia membuang kasut tumit tinggi dikakinya dan berlari sekuat hatinya ke tasik Putrajaya itu.

Sebaik sampai di sana, Nia tercungap-cungap melepaskan lelahnya. Dia berpusing ke sekeliling mencari kelibat Adam. Namun, segalanya hampa. Adam sudah tiada di situ. Dia sudah terlambat. Nia terduduk di tengah khalayak ramai itu. Matanya mula berkaca. Perlahan-lahan, air mata mengalir membasahi pipinya.

" Sekali lagi aku biarkan dia pergi," kata Nia perlahan. Air matanya masih mengalir. " Adakah kita memang takkan ada jodoh?," katanya lagi sendiri.

" Nia...," tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil dari belakang. Suara itu seperti suara.. Adam? Nia berdiri dan segera berpaling.

" Abang..? ," Nia sedikit terkejut namun kemudian dia tersenyum. Adam melangkah menghampirinya.

" Abang kan pernah cakap yang sampai bila-bila pun abang akan tunggu Nia," kata Adam sambil tersenyum. Nia turut tersenyum. Kemudian, Adam memegang tangan Nia dan melutut di situ.

" Nia.. sekali lagi abang akan tanya Nia, sudikah Nia kahwin dengan abang?," tanya Adam penuh debaran. Orang ramai sudah pun mengelilingi mereka berdua. Tetapi Adam sudah tidak mempedulikan semua itu. Apa yang penting sekarang adalah jawapan dari Nia.

Nia memandang ke sekelilingnya, kelihatan orang ramai mengangguk-angguk dan menyuruh dia supaya menerima lamaran itu. Nia tersenyum seketika kemudian berkata," Ya, Nia sudi ,". Mendengar jawapan itu, orang ramai mula bertepuk tangan. Adam berdiri semula dengan perasaan yang sangat gembira. Kalau boleh dia ingin memeluk Nia di situ, tapi dia tahu, dia perlu tunggu sehingga mereka ada ikatan yang sah terlebih dahulu. Adam mengeluarkan cincin yang pernah diberikan oleh Haris dulu dan menyarungkan cincin itu pada jari manis Nia.

" Terima kasih Nia," kata Adam sambil tersenyum. Dia benar-benar gembira, sehingga dia sendiri tidak mampu menggambarkan kegembiraannya itu. Begitu juga dengan Nia, akhirnya dia telah menerima lamaran itu. Dia tahu yang dia membuat keputusan yang betul. Dan dia janji pada dirinya, dia takkan biarkan cintanya pergi lagi.

0 comments: