BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, May 3, 2009

Bab 5

Hari-hari yang dilalui oleh Cinta dan Airell penuh dengan rasa kebimbangan. Masing-masing takut jika salah seorang daripada mereka akan membocorkan rahsia mereka. Namun hakikatnya, masing-masing takut untuk membocorkan rahsia itu. Cinta risau jika dia membocorkan rahsia Airell, lelaki itu akan membocorkan rahsianya. Begitulah juga apa yang dirasakan oleh Airell. Oleh itu, masing-masing hanya mendiamkan diri. Walaubagaimanapun, setiap kali mereka berdua terserempak di sekolah, masing-masing akan berbalas jelingan. Jika dapat digambarkan, bagaikan ada satu panahan kilat antara pandangan mata mereka berdua.
Suatu petang, Cinta berjalan pulang seperti biasa, melalui jalan hutan yang menjadi jalan pintas yang sering dilaluinya. Kawasan itu kelihatan tidak terlalu sibuk dengan kenderaan. Hanya sekali-sekala kelihatan motor melalui jalan itu. Kebanyakan kereta enggan melalui jalan itu walaupun ia merupakan jalan pintas kerana jalan itu agak sempit untuk kereta. Cinta terus berjalan dan dia berharap agar cepat-cepat sampai ke rumahnya. Kini, hanya dia seorang yang berada di kawasan itu. Tiada lagi pelajar-pelajar lain yang berada di situ. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa kurang senang. Dia merasakan seperti seseorang sedang mengekorinya. Lantas dia mempercepatkan lagi langkahannya.
Bunyi tapak kasut dari arah belakang Nia semakin lama semakin kuat, seolah-olah bunyi itu datang untuk menerkam ke arahnya. Kali ini, Cinta tidak dapat lagi membendung rasa takutnya lalu dia berlari sekuat hati sambil menjerit. Sewaktu dia berlari itu, tiba-tiba kakinya tersadung pada akar pokok yang telah timbul di hadapannya lalu jatuh terjelepok di situ. Dia kini sudah tidak mampu untuk bangun berdiri lagi, dia hanya duduk meringkuk di situ sambil terus menjerit. Tangannya telah memekup mukanya, manakala matanya sejak tadi lagi tertutup rapat.
" Hoi! Apasal kau menjerit ni? Dah lah lari bukan main laju lagi.. Kena histeria ke?," kedengaran satu suara menyapanya. ' Macam pernah dengar je suara ni?,'
Dengan serta-merta Cinta berhenti menjerit dan menurunkan tangannya dari muka sambil membuka matanya perlahan-lahan. " Kau lagi???!!!," tengking Cinta. " Kau kalau tak menyusahkan aku boleh tak??! Aku ingatkan penculik ke siapa tadi?," sambungnya lagi.
" Entahlah, tak boleh kot ..," jawab Airell selamba. " Perlukan pertolongan?," tanya Airell lagi sambil menghulurkan tangannya kepada Cinta untuk membantu gadis itu bangun. Cinta merenung tangan lelaki itu untuk seketika, kemudian dia mengangkat kedua-dua tangannya untuk memegang tangan lelaki itu. Tetapi, pada waktu yang sama, Airell melarikan tangannya dengan menggosok-gosok rambutnya. Kemudian kedengaran tawanya berderai.
" Kau ni! ," kata Cinta sambil bangun sendiri tanpa memerlukan bantuan daripada sesiapa lagi.
Airell terus berjalan ke hadapan meninggalkan Cinta, malas untuk mendengar gadis itu meleter. Dia tidak mahu menambahkan rasa serabut dalam kepalanya itu. Sejak tadi dia berjalan kaki untuk pulang ke rumah, sudah lenguh rasanya kakinya itu. Sebelum ini, dia tidak pernah berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah, tetapi disebabkan tiada kenderaan, dia terpaksa pula berjalan kaki. Huh, memang bengang! Tapi, sebentar kemudian, dia berhenti daripada terus berjalan. Kemudian dia berpaling ke belakang, dilihatnya Cinta sedang berada hanya satu meter darinya. Dia merenung Cinta menyebabkan Cinta berasa hairan melihat tenungan itu.
" Kenapa tengok aku macam tu? Nak cari gaduh ke?," kata Cinta geram.
" Kau tak beritahu pada orang pasal Maria tu kan?," tanya Airell.
" Ada...," jawab Cinta ringkas. Serentak dengan itu, Airell membulatkan matanya kepada Cinta. " Pada anak sepupu aku yang umur 2 bulan," sambung Cinta lagi. Kali ini tawa Cinta pula yang berderai. Airell lega mendengar kata-katanya itu.
“ Kau nak tahu tak? Aku rasa, kita ni buat benda sia-sia je ,” kata Cinta lagi sambil terus berjalan.
“ Apa maksud kau? ,” tanya Airell kehairanan mendengar kata-kata Cinta itu tadi.
" Ye la, aku ugut kau.. Kau ugut aku,"jawab Cinta. " Aku rasa, kita patut hentikan semua ni..," katanya lagi.
" Kau ni suka cakap dengan penuh tanda tanyalah.. Apa maksud kau sebenarnya ni?," tanya Airell lagi.
“ Macam ni, kau tahu aku suka Khai kan? Dan aku tahu kau suka Maria. So, macam mana kalau kita main satu permainan?,” cadang Cinta.
“ Permainan apa?,” tanya Airell lagi.
“ Kita bertanding siapa yang dapat tackle orang yang kita suka tu terlebih dahulu. Kau atau aku,”terang Cinta.
“ Tu macam bertaruh la tu..,” kata Airell.
“ Macam bertaruh, tapi bukan bertaruh. Bertaruh guna duit la, kita bukannya guna duit. Apa la kau ni,” kata Cinta pula. Airell terdiam seketika. Barangkali sedang berfikir.
“ Ok, aku setuju. Siapa yang kalah akan ikut perintah orang yang menang selama sebulan ,” akhirnya Airell setuju dengan gadis walaupun dia berasa bahawa itu adalah satu permainan gila. Dia tahu, dia tak mungkin akan kalah dengan perempuan itu.
“ Ok, deal.. Walaupun kita takde kertas hitam putih, aku harap kau akan ingat tu. Dan aku akan pastikan yang kau akan kalah ,” kata Cinta penuh yakin sambil menundingkan jari telunjuknya ke dada Airell.
“ Jangan haraplah.. ,” kata Airell pula.
Masing-masing tersenyum sendirian. Kini mereka tiba di dua persimpangan, Airell dan Cinta saling berpandangan. Kemudian Airell menuju ke simpang di sebelah kiri manakala Cinta ke sebelah kanan. Setelah hampir dua minit mereka berjalan, masing-masing pusing semula ke belakang dan berjalan menuju ke arah yang bertentangan daripada tadi. Masing-masing cuba menahan diri dari ketawa. Mereka terus berjalan sehingga tidak kelihatan lagi.

0 comments: